Latest Event Updates

Seni Politik

Posted on Updated on

Seni politik |IMG_2296

Politik itu dinamik sifatnya
namun prinsip tetaplah ada
ada roh ada jiwa punya rasa
tidak jumud tersimpul mati
tidak pula lepas bebas tanpa tali
politik itu berseni

kadangkala terserlah niat
nampak nyata dalam kerja buat
terkadang terlindung senyap
diam di hati langkah tersirat

kerana politik itu berseni
setiap gerak ada rentak tari
yang cekap membaca terpuji
yang kurang memahami teruji

politik harus banyak bersabar
adab berguru jangan dilanggar
pantang murid kurang ajar
hilang berkat ilmu belajar

bukanlah mengalah itu salah
emosi bukan lupa diri kala marah
mudah melatah dan hilang arah
adalah sifat orang yang kalah

lama berjuang tak semesti matang
cerdik secupak bebal bergantang
tak sedar diri diperkudakan orang
tersilap hitung akan terbuang
tiada orang mahu memandang
istiqamahlah hingga kemenangan.

the sense
30 Nov. 2015

Advertisements

Lupus Pupus

Aside Posted on Updated on

Yang Lupus dan Pupus |IMG_2296

Apa nak jadi dengan orang kita
Jati diri pudar lesu tak bermaya
Semangat hanya tinggal pada kata
Jiwa rapuh kental tidak seberapa 
Sudahlah adat dicampak ke kuala
Agama pula hilang entah ke mana
Menurut saja apa orang kata
Hatta disuruh berbuat nista 
Waima sanggup berkata dusta
Asalkan periuk nasi terjaga
Apa nak jadi dengan orang kita..
Hidup bagai hilang arah mati rasa
Meliuk bagai lalang ditiup angin
Teraba-raba dalam gelap malam dingin
Begitulah bila agama kembali dagang
Laila dan dara menari ikut paluan gendang
Si bebal memutar-mutar lidah tak bertulang
Saban hari dicemuh orang memandang
Mengapa dengan orang kita..
Bagai lupus sudah punca pupus rasa
Telah lupus kesucian jiwa kita
Telah pupus kepekaan deria kita
Kian lupus jati diri serumpun bangsa
Kian pupus ikatan saudara seagama
Bila akal fikiran dijadi rujukan semata
Amarah dendam dibiar menjalar membara
Keimanan kian pudar sabar makin tiada
Maka rosaklah keindahan budi bahasa
Adab bermasyarakat tidak lagi dijaga
Melampau apabila bersengketa
Keliru siapa kawan siapa lawan
Kabur mana madah berhelah jadi umpan
Mana hujah dalil paksi kebenaran
Fitnah tohmah jadi rujuk sandaran
Firman dan sunnah pula diketepikan
Akibatnya lupus dan pupuslah kekuatan
Kesucian agama dipermain-mainkan
Maruah bangsa diperkotak-katikkan
Apa masih leka kah duhai orang kita
Sedarilah bahawa kita bangsa merdeka
Dengan agamalah maka kita mulia
Melupusnya maka kita terhina
Terhapusnya  ia alamat kita celaka..
Pak Kusya
10.08.2015
IMG_2297

Rajuk

Posted on

Rajuk |rajuk1

Jangan terlalu emosi
kerana kadangkala
banyak yang kita terlepas
dalam kehidupan ini
jika terlalu mengambil peribadi
mengenai sesuatu perkara
sedang kehidupan itu terus berjalan
meski pun tanpa kita
dan kitalah yang kerugian
kerana tidak akan menjadi
sebahagian dari peristiwa esok hari
kerana perjuangan itu
bukanlah soal peribadi
tapi survival umat

cukup-cukuplah merajuk..

the sense
23.06.15

Hakikat Kehidupan |

Posted on Updated on

Hakikat Kehidupan |10421999_939984736031014_8062062324342538583_n

Dunia ini ibarat medan ujian
ke atas makhluk bernama insan
usia umpama modal dipinjamkan
ilmu, akal dan nafsu bekal perjalanan
wahyu dan sunnah sebagai panduan
hartabenda, pangaruh, kuasa menjadi taruhan
anak dan isteri, kaum kerabat menjadi perhiasan
iblis, syaitan mengganggu pengabdian hamba
kepada Tuhan
beruntunglah mereka yang tidak dilalaikan

Maka begitulah berlangsungnya kehidupan
terus berputaran bersama peraturan alam
pertembungan antara kebenaran dan kebatilan
kezaliman dan pembelaan
sehingga tiba satu saat yang ditentukan
permainan realiti ini pasti ditamatkan
dengan cuma satu tiupan kehancuran
kemudian kita akan dipanggil pulang
dengan satu tiupan kebangkitan
di padang mahsyar kita dihimpunkan
dihitung baik buruk sebesar manapun amalan
setiap diri pasti akan diberi keadilan
lalu menerima ganjaran atau hukuman
apakah syurga yang dipenuhi segala macam kenikmatan
ataukah neraka yang diliputi pelbagai penyiksaan
itulah sebenar penamat yang tiada pengakhiran
maka jangan sesekali kita disesatkan.

The Sense
Kota Bharu
29 Julai 2015.

Bahtera Zaman

Posted on Updated on

Bahtera Zaman |

Jangan menebuk bahtera zaman
usahlah kita saling bercakaran
tikam menikam sesama kawan
dengan lawan boleh makan sehidang
dengan kawan berkerat rotan berpatah arang
jangan kerana marahkan nyamuk seekor
kelambu pula yang mahu dibakar

Berakhlaklah jika hendak menegur
berlapang dada pula bila ditegur
menarik rambut dalam tepung
rambut jangan putus tepung jangan berselerak
marilah rapatkan saf eratkan ukhwah
perkemaskan jemaah kuatkan ummah
permusuhan itu umpama anai-anai
mereputkan kayu tiang dan lantai
andai berpecah nescaya rebah
senang musuh datang menjajah

 

 

 

Insaflah sebelum nasi menjadi bubur
berdamailah dengan jujur saling tegur menegur
jangan dengki usah khianat
jangan berdendam kesumat
hulurkan tangan persaudaraan
sambutlah dengan keterbukaan
semoga beroleh petunjuk Tuhan
disepanjang perjalanan
bahtera zaman.

the sense.
02.03.2015

Amukan Alam

Posted on Updated on

Amukan Alam.

Mendung hitam Disember kini datang lagi
Hujan lebat mencurah-curah mengeruh air di kali
Seperti membawa peringatan dari langit
Bahawa segala-galanya milik Al-Malik
Apapun punya makhluk sementara sifatnya
Ia bisa hadir dan lenyap dalam sekelip mata
Bencana datang menyerang tanpa kita menduga
Usah takbur dengan kekuatan benda dan akal semata
Kudrat dan iradat Tuhan itu mengatasi segalanya
Bencana bisa saja turun dari atas kepala
Atau keluar dari bawah telapak kaki kita


Bila awan sudah tidak lagi upaya menakung titisan air
Lalu disimbah ke bumi menjadi hujan lalu ia pun mengalir
Dengan perintah ‘kun fayakun’ muncul air dari semua arah
Menuruni tanah tinggi menyusuri lurah ke tanah yang rendah
Menghilir ke muara bergabung menjadi arus deras yang ganas
Merempuh segala binaan memecah benteng dan batas

Menghanyutkan sampah sarap, hidupan dan harta benda
Air yang dulu menjadi sahabat yang santun dan mesra
Bertukar menjadi raksaksa yang menggerunkan jiwa

Kemudian bila telah cukup tempoh yang ditentukan
Maka ia pun berlalu pergi bersama tangisan dan jeritan kepiluan
Meninggalkan bekas-bekas derita dan kesedihan disepanjang jalan

Mengapakah bencana ini menimpa kampung halaman kita
Apa kerana tangan-tangan rakus yang tamak haloba
Memperkosa khazanah rimba demi meranggah habuan laba

Atau mungkin ia kifarah menyucikan dosa-dosa kita
Yang seringkali terlupa dan berulangkali mengotori jiwa
Agar tidak terus hanyut dan lagha dalam arus angan-angan
Lemas tenggelam dalam lautan khayalan yang memperdayakan..

Pak Kusya | kota bharu
31 Disember 2014

Jangan Berlengah

Posted on Updated on

Jangan Berlengah |

Mengapa menunggu pohon berbuah di luar musim wahai teman
Sedangkan pepohon di dusun mengeluar hasil sepanjang zaman
Mengapa mencari bunga yang hidup meliar di kaki gunung
Sedang kuntum segar di taman terbiar tidak berkunjung

Hendak tidur tidurlah wahai mata
Usahlah dikenang orang yang jauh
Wahai pungguk usah bulan dikau memuja
Takkan mungkin ia kan jatuh ke riba

Kenapa menanti berkurun lama tanpa berbuat apa-apa
Alangkah ruginya usia dibazirkan dengan begitu sahaja
Detik berlalu dalam kepulan asap rokok dan papan haji
Sedangkan rakan mu seorang demi seorang berlalu pergi

Tidak perlulah menunggu rezeki datang bertamu
Jika hanya duduk menunggu keajaiban megubah nasib mu
Kenapa menangguh-nangguh untuk melakukan kebaikan
Berlengah-lengah meninggalkan keburukan dan kejahatan
Janganlah berdalih konon menantikan petunjuk
Padahal hidayah sudah berulang mengetuk
Hanya kau yang berkira-kira mahu membuka pintu
Melangkah lesu tak menyahut kala nama mu diseru

Ingatlah bukan kita yang menentukan datangnya ajal
Janganlah menangguh-nangguh taubat kelak kan menyesal
Ayuh bangkitlah dari terus dihanyutkan dek arus angan-angan
Keluarlah dari mimpi itu meskipun ia indah dan mengasyikan
Kerana segalanya kan binasa kehidupan akhirat jualah berkekalan.

Pak Kusya
15 Februari 2015